Monday, 29 March 2021

APAKAH ITU WASIAT?

 


Wasiat ialah suatu dokumen sah yang melantik Pemegang Amanah (Wasi) bagi menguruskan harta Pewasiat mengikut faraid atau hasrat Pewasiat tersebut.


DALIL WASIAT

Pada permulaan Islam, berwasiat adalah suatu kewajipan untuk ibu bapa dan kaum kerabat yang terdekat berdasarkan Firman Allah s.w.t. yang bermaksud: “Diwajibkan ke atas kamu, apabila seseorang di antara kamu kedatangan (tanda-tanda) maut, jika ia meninggalkan harta yang banyak, berwasiatlah untuk ibu-bapa dan kaum kerabatnya secara ma’ruf (ini adalah) kewajipan atas orang-orang yang bertaqwa”.  (Surah Al-Baqarah:180)

Kemudian, kewajipan berwasiat telah dimansuhkan hukumnya apabila turunnya ayat mawarith dalam surah Al-Nisa,  iaitu yang menerangkan hak-hak dan pembahagian pusaka melalui hukum faraid contohnya melalui ayat yang bermaksud: “Bagi orang laki-laki ada hak bahagian dari harta peninggalan ibu-bapa dan kerabatnya, dan bagi orang wanita ada hak bahagian (pula) dari harta peninggalan ibu-bapa dan kerabatnya, baik sedikit atau banyak menurut bahagian yang telah ditetapkan”.  (Surah Al-Nisa’: 7)

Dari segi kedudukan wasiat, Allah SWT berfirman yang bermaksud: “(Pembahagian itu) ialah sesudah diselesaikan wasiat yang diwasiatkan oleh si mati dan sesudah dibayar hutangnya.” (Surah Al-Nisa’: 11)

Manakala hadis daripada Abdullah bin Umar r.a., Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Seseorang muslim yang mempunyai sesuatu yang hendak diwasiatkan, tidak sepatutnya tidur selama dua malam, melainkan dalam keadaan wasiat telah siap ditulis di sisinya.” (Riwayat Al-Bukhari)

Melalui hadis di atas, jelas menyatakan bahawa Rasulullah s.a.w. amat menggalakkan wasiat dibuat bila mana telah terlintas di hati untuk membuat sesuatu wasiat.


#WASIATLEGASI

Sunday, 28 March 2021

KONSEP TAKAFUL

 



Takaful dari segi pengertian bahasa ialah saling jamin menjamin, menjaga atau memelihara –iaitu peserta yang mengambil perlindungan takaful berniat ikhlas akan saling jamin menjamin dikalangan mereka untuk saling bantu membantu ketika ditimpa musibah.

Takaful secara amnya mempunyai persamaan dgn insurans konvensional dimana kedua-duanya merupakan instrument untuk membantu golongan yg tidak bernasib baik kerana ditimpa musibah.akan tetapi takaful adalah merupakan insurans yang berteraskan islam dan diuruskan mengikut hukum-hukum dan syariah islam.


KONSEP TAKAFUL

Takaful adalah satu konsep yang berasaskan prinsip-prinsip berkongsi tanggungjawab, bekerjasama dan saling membantu menjaga kepentingan bersama. Setiap peserta menyumbang berasaskan tabarru’ (derma) kepada dana yang akan digunakan untuk membantu satu sama lain pada masa yang diperlukan.

Tahap kehidupan yang berubah-ubah.

Keperluan hidup kita sentiasa berubah mengikut peredaran masa. Justeru, apabila keperluan hidup berubah, keutamaan kita turut berubah. Masalahnya, kita juga perlu mengubah perancangan kewangan kita untuk diselaraskan dengan keutamaan hidup kita yang berubah. Di sini, kami boleh memenuhi keperluan anda dengan Takafulink, iaitu satu pelan takaful keluarga berkaitan dengan pelaburan yang berlandaskan prinsip-prinsip syariah. Ia mempunyai semua ciri-ciri yang anda perlukan.

- Berdasarkan Syariah
Mempunyai Majlis Syariah yang memantau pelaburan dan operasi syarikat.

- Komprehensif
Pelan yang lengkap, terdiri daripada perlindungan, pelaburan dan perubatan.

- Fleksible
Anda boleh mengubah plan atau caruman bulanan mengikut keperluan anda dari semasa ke semasa walau pun setelah polisi dikeluarkan. Ini membolehkan anda merancang dengan lebih baik.

- Pulangan pelaburan yang tinggi
Menyediakan 4 dana untuk memberi pilihan kepada anda

Dana Ekuiti Dinasti
Dana Ekuiti
Dana Urus
Dana Bon



#WASIATLEGASI


 


AHLI WARIS FARAID

 



Faraid ialah bahagian yang telah ditetapkan oleh syarak kepada waris si mati. Waris pula terbahagi kepada beberapa  kategori iaitu waris utama, waris gentian, waris sisian pertama dan waris sisian kedua. Waris utama adalah insan yang paling rapat dengan si mati iaitu ayah,ibu, pasangan (suami atau isteri), anak lelaki dan anak perempuan.

Setiap daripada waris utama ini mempunyai hak dan kadar masing-masing dalam pembahagian harta faraid. Contohnya, bapa akan memperoleh hak sebanyak 1/6 daripada harta faraid tersebut. Ibu berhak sebanyak 1/3 (sekiranya si mati tidak mempunyai anak) dan 1/6 (sekiranya si mati mempunyai anak). Manakala pasangannya iaitu suami berhak sebanyak ½ (sekiranya si mati tidak mempunyai anak) dan ¼ (sekiranya si mati mempunyai anak.

Begitu juga dengan isteri, hak isteri ialah sebanyak ¼ (sekiranya si mati tidak mempunyai anak) dan 1/8 (sekiranya pasangan mempunyai anak). Manakala hak anak perempuan pula ialah ½ (sekiranya si mati hanya mempunyai seorang anak perempuan sahaja), 2/3 hak (sekiranya si mati ada lebih daripada seorang anak perempuan dan dibahagikan sama rata di antara mereka).

Namun begitu, hak anak perempuan juga tertakluk kepada kategori asobah Bil ghari iaitu sekiranya anak perempuan tersebut mempunyai adik beradik lelaki maka pembahagian perlu dilakukan dengan kadar sebanyak 2 bahagian bagi lelaki dan 1 bahagian bagi perempuan.

Sebaliknya anak lelaki akan mengambil seluruh harta jika tiada waris fardu (waris yang telah ditentukan haknya).

Kesimpulan

Tertib dalam pengurusan harta pusaka Islam bukanlah perkara yang boleh dipandang remeh. Sesungguhnya, memahami kaedah pembahagian harta dalam Islam amatlah penting dan dititik beratkan malahan perlaksanaannya adalah berdasarkan ketetapan yang telah dinyatakan dalam al-Quran dan hadis.

#WASIATLEGASI

FARAID



Perkataan Faraid dari segi bahasa mempunyai maksud yang banyak. Antaranya ialah menentukan, memastikan, menghalalkan dan mewajibkan.

Menurut istilah syarak, Faraid adalah pembahagian harta seorang Islam yang telah meninggal dunia sama ada beliau meninggalkan wasiat atau tidak sebelum kematiannya.

Maka harta peninggalannya akan dibahagikan kepada ahli warisnya (seperti  anak, isteri, suami, ibu, dll), menurut hukum Islam. Harta yang dibahagikan kepada ahli waris adalah baki harta yang ditinggalkan setelah ditolak segala pembiayaan pengurusan jenazah, hutang pewaris (zakat, nazar, dll) dan wasiat yang dibenarkan oleh syarak (tidak melebihi 1/3 dari jumlah harta).

Bentuk harta yang boleh dibahagikan secara Faraid ialah:
  1. Tanah
  2. Bangunan (rumah).
  3. Barang kemas (emas, perak dll).
  4. Insurans dan Wang tunai (sama ada dilaburkan atau tidak).
  5. Binatang ternakan seperti kambing, lembu, unta, kerbau dll.


Kenapa anda perlu memahami faraid?

1.    Asas - Ia adalah pengetahuan asas kepada Perancangan Harta Pusaka Islam.

 

2.    Beza - Ia membezakan antara perancangan harta bagi orang Islam dan bukan Islam.

 

3.    Penting - Ia adalah sangat penting bagi kes kematian berwasiat dan tidak berwasiat.

 

4.    Tahu -  Ia membantu umat Islam akan tahu bagaimana hartanya akan dibahagikan selepas kematiannya.

 

Sebelum anda membuat perancangan harta pusaka, perlulah kembali kepada asas pembahagian harta pusaka ini, iaitu FARAID. Setelah anda memahami Faraid, barulah anda boleh merancang bagaimana harta pusaka anda hendak dibahagi-bahagikan kepada waris atau bukan waris.

Di dalam Al-Qur'an, cara pembahagian harta pusaka ataupun faraid adalah yang paling jelas dan terperinci. Ianya cukup jelas untuk difahami dan dibuat pengiraannya. Seseorang yang mahir dalam matematik kebiasaannya akan dapat memahaminya dan seterusnya menguasai kaedahnya dalam masa yang amat singkat.  Pembahagian harta pusaka secara faraid merupakan  satu cara pembahagian yang paling adil dan penuh hikmah.


#WASIATLEGASI

Salam Nisfu Sya'ban 1442


 

PERANCANGAN HARTA PUSAKA

  





Islam amat mengambil berat tentang persoalan harta dalam kehidupan manusia. Harta dianggap sebagai satu amanah oleh Allah yang mesti diuruskan dengan baik dan sesempurna berdasarkan peraturan dan hukum Allah S.W.T. Pengurusan harta sebagai bekalan kehidupan di akhirat mesti diurus dan dirancang semasa seseorang itu masih hidup lagi. Harta dunia ini adalah milik Allah S.W.T. dan kita hanyalah pemegang amanah yang dipertanggungjawabkan untuk mengurus dan mentadbirnya sebaik mungkin mengikut syariat Islam.

Perancangan harta pusaka ialah sebarang usaha dan rancangan persediaan yang perlu dan wajar dilakukan bagi membahagikan dan mengagihkan harta-harta yang dimiliki oleh pemilik harta kepada para waris ataupun bakal penerima harta yang lain apabila pemilik harta meninggal dunia. Perancangan pembahagian ini dibuat semasa pemilik harta masih hidup.

Harta pusaka yang tidak dituntut merupakan salah satu masalah ekonomi orang Islam yang semakin meruncing. Kesannya, harta tersebut akan terbeku dan memerlukan masa yang panjang untuk mencairkannya. Perkara ini sepatutnya tidak berlaku kerana Islam telah menetapkan pembahagian harta mengikut hukum faraid.

Harta pusaka tidak dituntut merupakan satu perkara yang merugikan umat Islam kerana mereka tidak dapat menikmati harta yang ditinggalkan. Masalah harta pusaka ini menyebabkan harta tersebut terbeku dan tidak dapat dibangunkan bagi tujuan pembangunan ekonomi waris-waris. Hal ini disebabkan apabila sesuatu harta tersebut diisytiharkan sebagai beku, maka ia memerlukan pelbagai prosedur dan mengambil masa yang panjang untuk menyelesaikannya.

Mengurus dan merancang harta adalah sangat digalakkan di dalam Islam. Di dalam sesetengah keadaan, pengurusan harta pusaka bukan lagi merupakan satu pilihan tetapi adalah satu keperluan terutama apabila wujud keadaan di mana pelaksanaan sesuatu perkara itu wajib kita tunaikan. Dalam konteks ini, Islam membenarkan kita untuk melupuskan harta atau memberi manfaat kepada orang-orang tertentu melalui instrumen wasiat dan hibah. Walaubagaimanpun pelaksanaan kedua-dua instrumen ini adalah tertakluk kepada hukum syarak dan tidak boleh sewenang-wenangnya digunapakai apatah lagi ianya mungkin akan mengundang kekeliruan dan perbalahan di kalangan ahli keluarga yang terdekat.

Realiti zaman kini, ramai antara kita yang memandang remeh isu pembahagian harta pusaka dan penyediaan surat wasiat. Apabila berlaku kematian, mereka membahagikan harta pusaka mengikut logik akal masing-masing. Natijahnya, ada pihak yang tidak berpuas hati, dan akhirnya menimbulkan perbalahan di sana sini dan lain-lain.

#WASIATLEGASI

Saturday, 27 March 2021

Melepaskan Hak Faraid Dalam Pentadbiran Harta Pusaka

 


Melepaskan hak bermaksud waris membebaskan haknya ke atas harta pusaka si mati dengan memberi atau menghadiahkan bahagiannya kepada waris lain.

Melepaskan hak juga bermaksud memberikan bahagian kepada waris lain secara percuma. Ia boleh dibuat secara lisan ketika perbicaraan sedang berjalan atau menandatangani Borang Persetujuan.

Kadangkala waris melepaskan haknya setelah dibayar. Tetapi itu tidak bermakna pelepasan itu tidak sah. Pihak Pentadbir Tanah tidak akan mengambil kira perkara itu.

Sama ada waris yang melepaskan haknya itu sudah dibayar atau tidak, itu tidak penting. Apa yang penting ialah waris mengaku dan bersumpah bahawa dia melepaskan haknya. Itu sahaja yang akan diambil kira.

Walau apapun tujuan waris, sama ada atas dasar kasih syang, kasihan, tidak peduli, tidak mahu ambil pusing tentang pusaka itu, atau sudah menerima bayaran terlebih dahulu, ini tidak akan memberi sebarang kesan kepada kesahan pelepasan yang dibuat.

Mungkin waris melepaskan hak khusus kepada seorang waris lain atau melepaskan hak kepada semua waris itu kerana semua waris berkongsi hak yang dilepaskan itu. Atau melepaskan hak sedikit kepada waris ini dan selebihnya kepada waris yang lain.

Terdapat juga waris yang sanggup membayar nilai bahagian waris lain. Sebagai gantinya, waris yang menerima bayaran itu akan menandatangani Borang Persetujuan untuk melepaskan haknya kepada waris yang membayar tadi.

Cara ini biasa digunakan apabila melibatkan harta tak alih. Ia boleh dilakukan dengan syarat waris yang sanggup membayar itu mampu. Dengan lain perkataan, kaedah ini perlu kepada modal tunai yang sepadan dengan nilai harta pusaka yang ditinggalkan.

Secara tidak langsung, ia umpama waris membelu harta tak alih itu daripada waris yang lain. Cuma jangan ada pula waris yang sudah mendapat duit, kemudian enggan menandatangani Borang Persetujuan. Perlu berhati-hati tentang perkara itu.

#WASIATLEGASI

HIBAH BERCAGAR: Adakah sah atau tidak untuk dilaksanakan?

 




Hibah Bercagar: Adakah sah atau tidak untuk dilaksanakan?

SOALAN: 

Bolehkah saya membuat hibah sebagai satu dokumen perancangan untuk harta yang masih bercagar (hutang)? adakah sah atau tidak untuk dilaksanakan nanti? bagaimana pula jika harta tersebut mempunyai perlindungan insurans/takaful (mrta/mrtt), adakah masih tidak sah?


JAWAPAN: 

Sebagai permulaan adalah penting untuk kita fahami berkenaan bidang kuasa undang-undang hibah itu sendiri di Malaysia, seperti yang kita sedia maklum ada dua undang-undang yg diguna pakai di Malaysia, iaitu undang-undang sivil dan shariah. Sebagai pengetahuan, Hibah bidang kuasanya jatuh dibawah undang-undang Shariah di Mahkamah Shariah, undang-undang shariah berteraskan daripada Al-Quran, Hadith, Qias dan Ijma’ Ulama dalam panduan hakim untuk membuat keputusan pengesahan hibah tersebut.


Untuk memastikan bahawa hibah itu sah ada kriteria-kriteria atau rukun dan syarat yang perlu dipenuhi:

1. Pemberi Hibah

2. Penerima Hibah

3. Barang atau harta yang dihibahkan

4. Sighah iaitu Ijab dan Qabul


Maksud Harta Bercagar:

Cagaran bermaksud harta yang dibeli, digadai atau diserah hak(biasanya melalui proses yang sah seperti pendaftaran gadaian keatas hakmilik tersebut) pada institusi kewangan atau kerajaan atau individu sebagai jaminan sebagai menjamin kepentingan peminjam atau institusi kewangan atau kerajaan atau individu yang memberi pinjaman berkenaan untuk membolehkan bayaran pinjaman dikeluarkan kepada penjual atau pemaju.


Hartanah bercagar ini hanya akan dilepaskan dari gadaian dan/atau surat ikatan penyerahan hak akan hanya dibatalkan selepas peminjam (selalunya pemilik hartanah) menyelesaikan segala pinjaman yang menjadikan hartanah tersebut sebagai jaminan sekuriti atas pinjaman yang diluluskan oleh sesebuah institusi kewangan, atau orang perseorangan. Justeru, pemilik hartanah bercagar tidak boleh melakukan transaksi pindahmilik ke atas hartanah bercagar selagi mana pinjamannya tidak diselesaikan. Kekangan atau halangan ini adalah bagi menjamin keselamatan pinjaman yang dilepaskan oleh pihak pemegang gadaian, atau penerima serah hak. 


Bagi persoalan status hibah harta bercagar, mari kita fokus berkenaan rukun yang pertama (1) dan ketiga (3) iaitu pemberi hibah  dan barang atau harta yang dihibahkan.


Pemberi hibah:📌

Hendaklah seorang yang berkeahlian seperti sempurna akal, baligh dan rushd (matang dan berkemampuan menguruskan harta). Pemberi hibah mestilah tuan punya barang yang dihibahkan. Oleh sebab pemilik harta mempunyai kuasa penuh ke atas hartanya, hibah boleh dibuat tanpa had kadar serta kepada sesiapa yang disukainya termasuk kepada orang bukan Islam, asalkan maksudnya tidak melanggar hukum syarak.


Barang atau harta yang hendak dihibahkan 📌  Aset tersebut perlu memenuhi syarat-syarat berikut:

a. Ia hendaklah barang atau harta yang halal. 


b. Ia hendaklah sejenis barang atau harta yang mempunyai nilai di sisi syarak. 


c. Barang atau harta itu milik pemberi hibah.


d. Ia boleh diserahmilikkan. 


e. Ia benar-benar wujud semasa dihibahkan. Contohnya, tidak sah hibah barang yang belum ada seperti menghibahkan anak lembu yang masih dalam kandungan atau hibah hasil padi tahun hadapan sedangkan masih belum berbuah dan sebagainya.


f. Harta itu tidak bersambung dengan harta pemberi hibah yang tidak boleh dipisahkan seperti pokok-pokok, tanaman dan bangunan yang tidak termasuk tanah. 


PANDANGAN MAZHAB SYAFIE DAN HAMBALI

persoalan utama yang timbul dalam kes hibah hartanah bercagar adalah tentang persoalan pemilikan harta pemberi hibah, iaitu dikategorikan sebagai pemilikan tidak sempurna (milk al-naqis), kerana harta tersebut bukan milik sepenuh pemberi hibah kerana masih ada lagi kepentingan atau hak pemegang gadaian. 


Atas asas ini, maka mazhab Syafie, dan Hambali menganggap hibah hartanah bercagar adalah tidak sah lantaran elemen qabd, dan tasarruf juga gagal dipenuhi dalam syarat hibah bersama ijab dan qabul. Tasarruf ialah sesuatu perbuatan yang mendatangkan kesan syarak terhadap sesuatu seperti jual beli, hibah, wakaf, dan sebagainya. 


Pandangan ini juga menyatakan bahawa hartanah bercagar merupakan jaminan yang berada di bawah kuasa pemegang gadaian. Oleh itu, hibah yang dilakukan ke atas hartanah bercagar dianggap sebagai sesuatu yang tidak memenuhi syarat pembentukan akad kerana dilakukan oleh orang yang tiada kelayakan untuk berbuat sedemikian.


PANDANGAN MAZHAB MALIKI DAN HANAFI

Walau bagaimanapun, terdapat ulama’ yang membenarkan hibah bagi hartanah yang milik orang lain, asalkan mendapat kebenaran pemilik hartanah tersebut. Keizinan pemilik hartanah tersebut pula tidak semestinya semasa akad hibah, tetapi boleh berlaku selepas ijab dan kabul. Kelayakan (wilayah) merupakan syarat al-nafadz(semasa akad berlangsung) yang boleh ditangguhkan hingga mendapat keizinan pemegang cagaran dan ia bukan sebagai syarat pembentukan akad.


Berdasarkan pandangan tersebut, ada yang berhujah bahawa hibah hartanah bercagar adalah dibolehkan. Hartanah bercagar masih bukan milik sempurna tuannya. Ada pihak ketiga yang berkepentingan iaitu penerima cagaran, selalunya institusi kewangan. Tetapi hibah masih sah, jika pihak institusi kewangan memberi kebenaran walaupun lama selepas akad hibah dibuat. Institusi kewangan akan bagi kebenaran selepas proses tebus hutang selesai. Tebus hutang boleh berlaku dengan sebab adanya takaful atau insuran yang melindungi hutang peminjam (selalunya pemilik hartanah) yang meninggal dunia.


KEPUTUSAN MAHKAMAH SYARIAH

1) Dalam kes Awang bin Abdul Rahman lwn. Shamsuddin bin Awang & lainlain, Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Terengganu memutuskan bahawa hibah hartanah bercagar adalah tidak sah kerana ia bukan pemilikan sempurna harta tetapi sebagai satu tanggungan. 


2) Dalam kes Wan Noriah binti Wan Ngah, Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Terengganu juga menolak permohonan pengesahan hibah dalam kes hartanah yang masih di bawah pembiayaan Bahagian Pinjaman Perumahan, Perbendaharaan Malaysia.


3)  Berlainan halnya dalam kes Raihanah Binti Mohd Ali lwn. Kamaruddin bin Mohd Nor & Lain-lain [2008] 26(2) JH 253, Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Terengganu telah menolak permohonan plaintif untuk mengesahkan hibah yang telah dibuat oleh adiknya (si mati) kepadanya atas alasan tiada bukti yang menunjukkan bahawa si mati telah meminta kebenaran daripada pembiaya skim BBA (bai’ bi thaman ajil) untuk membolehkannya menghibahkan hartanah tersebut kepada plaintif. Walau bagaimanapun, hakim syarie dalam alasan penghakimannya menyebut bahawa hibah ini boleh jadi sah jika kebenaran dari pemegang cagaran diperolehi. Mahkamah tidak menerima tentang fakta kewujudan takaful yang melindungi hutang pemberi hibah sebagai keizinan tersirat. Keizinan pemegang cagaran hendaklah dibuktikan secara jelas, dan pemohon dalam kes ini telah gagal membuktikan elemen ini.


4)  Yang lebih menarik adalah dalam kes Yati Suraya lwn. Supiah Binti Abu, mahkamah syariah Negeri Sembilan membenarkan hibah hartanah bercagar walaupun tanpa izin pemegang gadaian asalkan hartanah bercagar tersebut dilindungi sepenuhnya oleh takaful/insuran. Ini adalah kes yang terbaru.


Berdasarkan kes-kes ini, bolehlah kita bahagikan keputusan mahkamah syariah kepada tiga (3) kecenderungan: 

1. Hakim syarie yang menolak hibah hartanah bercagar secara mutlak. Mereka melihat bahawa pemberi hibah tiada keahlian (wilayah) ke atas harta hibah dan tidak layak untuk melakukan tasarruf atas harta hibah. Pemilikan harta hibah adalah pemilikan tidak sempurna. Mereka cenderung kepada pendapat dalam mazhab Syafie, dan Hambali. Kewujudan insurans/takaful tidak dianggap sebagai satu keizinan daripada pemegang gadaian.


2. Hakim syarie yang membenarkan hibah hartanah bercagar sekiranya mendapat izin daripada pemegang gadaian, atau pemegang kuasa wakil. Keizinan ini hendaklah diperolehi secara zahir/tersurat. Mereka cenderung kepada pendapat dalam mazhab Hanafi. 


3. Hakim syarie yang membenarkan hibah hartanah bercagar asalkan terdapat takaful/insuran yang melindungi keseluruhan pinjaman terhadap hartanah terbabit walaupun tiada keizinan secara zahir daripada pemegang gadaian, atau pemegang kuasa wakil. Takaful/insuran yang melindungi harta hibah itu sendiri adalah keizinan secara tersirat yang akhirnya transaksi tabarru’ itu boleh menjadi kenyataan. Mereka cenderung kepada pendapat dalam mazhab Maliki.


RUMUSAN

1.Hibah harta bercagar mempunyai kemungkinan dan risikonya yg tersendiri dalam pengesahannya di Mahkamah Syariah,


2.Tidak salah membuat hibah untuk harta bercagar, tetapi kita wajib memahami risiko dan menerima kemungkinan hibah itu ditentang dan ditolak oleh makhkamah.


3. Penyataan "hibah harta nercagar adalah sah sepenuhnya atau tidak boleh dicabar" adalah satu penyataan yg tidak bertanggungjawab.


4. Status mrta/mrtt sebagai perlindungan hutang ke atas harta bercagar tidak boleh menjamin 100% sah sesuatu hibah.


5. Keputusan sah sesuatu hibah masih lagi tertakluk kepada keputusan hakim sama ada cenderung ke atas mazhab Syafie dan Hambali atau mazhab Maliki dan Hanafi


6. Keputusan hakim pada kes terdahulu tidak mengikat hakim yang lain dalam membuat keputusan yang baru dan mereka bebas untuk berijtihad.


7. Perundangan di Malaysia khususnya perundangan shariah perlu lebih proaktif untuk menyelesai masalah  Hibah ini untuk mengelakkan kekeliruan dikalangan masyarat dan kesukaran kepada pengamalan perundangan dan perancangan harta pusaka Islam dalam memberi khidmat nasihat dan penyediaan dokumentasi yg lebih tepat dan jitu.


8. As-Salihin Trustee Berhad tidak menyediakan dokumentasi perancangan harta pusaka melalui Pri-Hibah untuk harta bercagar, kerana isu dan risiko yang akan berlaku semasa pengesahan hibah nanti dibuat. Akhirnya jika hibah itu ditolak akan berlaku salah faham, tuduh menuduh dan merosak reputasi dan keharmonian syarikat, IEP dan waris-waris hatta akan menambahkan masalah pusaka dan pergaduhan.


Walaubagaimana pun pihak As-Salihin Trustee Berhad membenarkan Pri-Hibah dilakukan untuk harta bercagar sekiranya pemberi hibah berjaya mendapatkan persetujuan dan kerjasama dari pihak pemegang gadaian (bank) semasa dokumentasi pri-hibah dibuat.


#WASIATLEGASI

Soalan Lazim Hal Berkaitan Wasiat



1. Saya difahamkan bahawa undang-undang pewarisan Islam iaitu Faraid telah menetapkan bahagian-bahagian yang patut di perolehi oleh waris-waris simati. Kenapa saya perlu membazirkan masa dan wang untuk menulis Wasiat? 

Pembahagian Faraid adalah untuk waris-waris, sedangkan wasiat membenarkan pembahagian 1/3 daripada harta pusaka kepada bukan waris yang memerlukan.

Wasiat memberi peluang kepada orang Islam untuk terus mendapat pahala selepas mati kerana mewasiatkan hartanya untuk tujuan kebajikan atau agama Islam. Di samping itu Pewasiat boleh melantik Wasi untuk mentadbir harta pusaka dan penjaga harta anak dibawah umur.

2. Adakah Islam mengalakkan menulis Wasiat?

Islam menggalakkan menulis Wasiat. Diriwayatkan oleh Abdullah Bin Umar R.A “Adalah tidak dibenarkan mana-mana orang Islam yang mempunyai sesuatu diwasiatkan untuk tinggal dua malam tanpa memiliki Wasiat terakhir dan disimpan dengannya.”

3. Islam menggalakkan menulis Wasiat, adalah lebih mudah untuk saya meniru contoh yang telah sedia ada, contohnya di bawah Enakmen Wasiat Selangor 1999.

Contoh Wasiat yang disediakan adalah Wasiat yang biasa sahaja, sedangkan as-Salihin menyediakan Wasiat yang lengkap yang dibuat berdasarkan keperluan, keadaan dan lain-lain perkhidmatan yang diperlukan oleh benefisiari yang masih hidup bagi mengelakkan sebarang konflik dan ketidak tentuan berlaku selepas kematian anda.

4. Saya masih bujang dan tidak mempunyai waris yang rapat. Kenapa perlu saya menulis Wasiat?

Jika anda tidak menulis Wasiat dan anda tidak mempunyai waris yang boleh mewarisi, kesemua harta akan diberi kepada Baitul Mal. Anda boleh memberi harta anda kepada orang-orang tertentu melalui Wasiat sebanyak 1/3 daripada jumlah harta dan baki harta akan diserahkan kepada Baitul Mal. Kedua-dua pihak akan mendapat bahagian.

5. Tanggungan saya adalah lebih banyak daripada aset saya. Bolehkah saya menulis Wasiat?

Anda boleh menulis Wasiat. Akan tetapi tanggungan anda akan diselesaikan dahulu sebelum pembahagian ke atas baki aset boleh dibuat kepada benefisiari.

6. Saya mempunyai anak-anak yang masih kecil dan saya telah mengasingkan beberapa harta untuk kepentingan mereka? Bolehkah as-Salihin bertindak sebagai penjaga bagi harta anak-anak saya?

Ya boleh, sekiranya as-Salihin dilantik sebagai Penjaga bagi harta anak-anak anda.

7. Bolehkah saya melantik as-Salihin sebagai penjaga yang sah bagi anak-anak saya?

Anda boleh melantik as-Salihin sebagai penjaga yang sah, tetapi bagi harta anak-anak anda dan bukannya penjaga bagi diri kanak-kanak tersebut. Penjaga bagi diri mestilah dilantik mengikut peruntukan undang-undang.

8. Bolehkah as-Salihin bertindak sebagai Penjaga kepada anak-anak yang masih kecil?

as-Salihin tidak boleh menjadi hadinah. Hak hadinah ke atas anak-anak yang masih kecil diberi keutamaan kepada saudara-saudara perempuan terdekat.

9. Saya telah menganut agama Islam dan ibu-bapa masih beragama Buddha. Saya faham bahawa ibu-bapa saya mempunyai bahagian yang telah ditetapkan apabila saya meninggal dunia. Adakah begitu?

Hanya orang Islam boleh mewarisi daripada orang Islam. Oleh kerana ibubapa anda bukan Islam mereka tidak boleh mewarisi daripada anda.

10. Bolehkah saya berwasiat kepada ibubapa dan saudara yang bukan beragama Islam?

Ya

11. Bolehkah saya menerima pemberian melalui Wasiat daripada saudara atau kawan bukan Islam?

Boleh

12. Bolehkah saya mewarisi daripada saudara bukan Islam (jika tiada Wasiat)?

Tidak

13. Saya adalah seorang anak angkat. Bolehkah saya mewarisi daripada ibubapa angkat saya?

Tidak

14. Bolehkah saya menerima Wasiat ibubapa angkat saya?
Boleh

15. Saya adalah anak luar nikah. Bolehkah saya mewarisi daripada ibubapa sebenar saya (yang tidak berkahwin)?

Anda hanya boleh mewarisi daripada ibu sahaja.

16. Sebagai ibu-bapa yang bersekedudukan, bolehkan mereka mewarisi harta saya?

Hanya ibu sahaja(dan bukan bapa) boleh mewarisi harta anda.

17. Saya telah menceraikan isteri saya. Bolehkah bekas isteri saya menuntut hak terhadap harta saya apabila saya mati?

Bekas isteri anda tidak boleh menuntut harta pusaka anda kerana apabila telah bercerai, bekas isteri bukanlah dianggap sebagai waris yang layak lagi. Tetapi bagi isteri yang diceraikan, apabila suami telah menceraikan isteri dan suami mati ketika di dalam masa iddah, isteri masih dianggap sebagai waris yang layak dan boleh mewarisi harta anda.

18. Di dalam Islam, adakah saya bebas untuk mewasiatkan semua harta saya?

Menurut Undang-undang Islam, seorang Islam mempunyai kebebasan untuk mewasiatkan hanya 1/3 daripada keseluruhan hartanya.

19. Berapa banyak saya boleh berwasiat kepada ahli-ahli keluarga terdekat?

Menurut Mazhab Shafie, seorang Islam tidak boleh mewasiatkan hartanya kepada waris kecuali semua waris memberi persetujuan selepas kematian pewasiat. Di dalam kes anda, anda boleh mewasiatkan lebih daripada 1/3 kepada keluarga terdekat jika semua waris bersetuju.

Tetapi di bawah undang-undang Selangor, Seksyen 26(2) Enakmen Wasiat Orang Islam (Selangor) 1999, orang Islam dibolehkan berwasiat sebanyak satu pertiga daripada keseluruhan aset kepada waris-warisnya walaupun tanpa persetujuaan waris-waris yang lain.

20. Siapakah di antara saudara saya yang tidak boleh terkecuali daripada mewarisi harta saya?

Dengan syarat mereka adalah orang Islam, bapa anda (ke atas), suami/isteri anda dan anak-anak anda tidak terkecuali daripada mewarisi harta anda.

21. Berapa banyak saya boleh berwasiat kepada rakan-rakan saya?

Anda boleh berwasiat hanya 1/3 daripada semua harta anda kepada rakan anda. Jika anda mewasiatkan lebih daripada 1/3, Wasiat yang melebihi daripada 1/3 tidak sah kecuali mendapat persetujuan semua waris selepas kematian pewasiat.

22. Saya mempunyai sebidang Tanah Rizab Melayu dan ia melebihi 1/3 daripada semua harta saya. Bolehkah saya mewasiatkan tanah tersebut kepada rakan saya, Ali Chong Abdullah, seorang mualaf?

Anda harus memahami bahawa dengan memeluk Islam rakan anda itu tetap berbangsa cina dan dia tidak boleh menjadi orang Melayu. Tanah Rizab Melayu hanya boleh dimiliki oleh orang Melayu, adalah dinasihati agar anda tidak mewasiatkan tanah tersebut kepada rakan anda yang berbangsa cina.

23. Apakah benda yang tidak boleh saya Wasiatkan?

Benda yang dianggap haram menurut Islam seperti alkohol, babi tidak boleh menjadi harta yang diwasiatkan. Pemberian kepada tempat-tempat peribadatan agama selain Islam tidak boleh melalui Wasiat. Tidak dibenarkan juga seseorang mewasiatkan senjata dan patung-patung sembahyang kepada orang bukan Islam.

24. Saya telah membuat Wasiat ketika saya bujang, jika saya tidak membuat Wasiat yang baru selepas berkahwin, masih sahkah Wasiat tersebut

Di dalam Islam, Wasiat tidak terbatal melalui perkahwinan atau perceraian. Wasiat yang anda buat sebelum berkahwin kekal sah kecuali saya membatalkannya dengan membuat Wasiat baru.

25. Saya telah menamakan isteri saya sebagai penama di dalam borang EPF. Bolehkah isteri saya mendapat kesemua wang daripada akaun EPF saya apabila saya meninggal kelak?

Menurut fatwa yang dikeluarkan oleh Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Agama Islam Malaysia, penama bagi skim Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, Wang Simpanan Pejabat Pos, Wang Simpanan di bank dan Simpanan Kesatuan Kerjasama adalah merupakan orang yang melaksanakan Wasiat simati iaitu sebagai pemegang amanah. Penama tersebut tidak boleh mewarisi kesemua harta tersebut tetapi dia mestilah membahagikan harta tersebut mengikut Faraid.

26. Saya belum berkahwin ketika membeli polisi insurans dimana saya menamakan kakak saya sebagai benefisiari. Oleh kerana saya telah berkahwin adakah kakak saya boleh mewarisi polisi insurans saya apabila saya meninggal dunia?

Di dalam Islam, harta simati hanya boleh diwarisi selepas kematiannya dan dibahagikan mengikut Faraid. Kedudukan kakak anda hanyalah sebagai pemegang amanah (dan bukan sebagai benefisiari) dan beliau berkewajipan untuk membahagikan harta tersebut kepada waris-waris yang layak menurut Faraid (sila lihat soalan 25).

27. Adakah seorang individu tidak layak untuk dilantik sebagai wasi bagi Wasiat saya, kerana dia juga merupakan benefisiari di dalam Wasiat saya?

Tidak layak.

28. Jika saya boleh melantik mana-mana individu untuk menjadi wasi Wasiat saya. Kenapa perlu saya melantik as-Salihin?

Adalah lebih baik melantik as-Salihin sebagai wasi. Jika anda fikirkan bahawa orang kesayangan anda mungkin tidak mampu berfungsi dan bertugas sebagai wasi, anda wajar melantik as-Salihin sebaga wasi utama atau wasi ganti.

Kelebihan melantik as-Salihin sebagai Wasi anda adalah seperti berikut:

(a) Warisan kekal dan berterusan

Sebagai sebuah syarikat, as-Salihin bersama kakitangan yang arif dalam bidang undang-undang akan sentiasa memastikan kesinambungan dalam proses pentadbiran hingga pembahagian harta yang terakhir

(b) Bertanggungjawab dan Adil

Tidak seperti pemegang amanah individu, as-Salihin adalah badan pengawal di bawah obligasi undang-undang untuk memastikan wang sentiasa dijaga. Selain itu, sebagai badan korporat, as-Salihin bebas dan adil kepada semua benefisiari berbanding Wasi atau pemegang amanah individu yang mungkin mempunyai hubungan atau terikat dengan emosi.

(c) Profesional dan berkemampuan

Dengan melantik as-Salihin, anda akan dijamin dengan profesional dan berkemampuan dalam menjalankan keseluruhan pentadbiran pada kos yang berpatutan.

(d) Mempercepatkan proses undang-undang

(i) Dengan Wasiat dan melantik as-Salihin sebagai Wasi, tidak akan berlaku pertelingkahan untuk memilih siapa yang wajar mentadbir harta pusaka, hanya wasi yang dilantik di dalam Wasiat mempunyai hak mentadbir.

(ii) Tidak perlukan jaminan untuk memperolehi probet. as-Salihin sebagai Wasi tidak perlu mencari penjamin ketika memohon probet.

29. Bolehkah saya mengubah kandungan Wasiat saya dan bilakah boleh saya berbuat demikian?

Anda boleh mengubah Wasiat anda pada bila-bila masa yang anda mahu. Islam membenarkan pewasiat membatalkan Wasiatnya ketika masih hidup.

30. Bolehkah saya membuat wakaf di dalam Wasiat saya?

Menurut undang-undang Islam, seseorang boleh membuat wakaf di dalam Wasiatnya tetapi wakaf tersebut tidak boleh dibuat untuk kepentingan waris-warisnya. Wakaf ini hanya boleh berkuatkuasa selepas kematian pewasiat. Sebelum pewasiat mati, dia boleh membatalkan wakafnya tetapi harta yang diwakafkan itu mestilah diberi kepada badan kebajikan yang lain.

31. Berapa banyakkah harta saya boleh diwakafkan melalui Wasiat?

Wakaf di dalam Wasiat hanya terhad kepada 1/3 daripada harta simati. Jika wakaf dibuat di dalam Wasiat melebihi 1/3, harta wakaf yang melebihi itu adalah tidak sah kecuali selepas kematian anda, waris-waris anda bersetuju mengenainya.

32. Menulis Wasiat dengan peguam adalah lebih murah. Kenapa perlu saya menulis Wasiat dengan as-Salihin?

Peguam tidak memberikan perkhidmatan ditempat yang anda kehendaki. Kebanyakkan peguam sibuk menghadiri kes di mahkamah atau mempunyai banyak urusan undang-undang yang perlu disegerakan. Peguam tidak mempunyai kepakaran dalam penulisan Wasiat kerana ia bukanlah sumber pendapatan utama mereka serta jumlah pelanggan mereka yang membuat Wasiat adalah terhad.

Mereka tidak menyediakan perkhidmatan menyimpan Wasiat. Akan tetapi, kami adalah pakar dalam penulisan Wasiat dan kami menyediakan anda perkhidmatan persendirian di tempat yang anda kehendaki/selesa tanpa gangguan samada di rumah atau di pejabat anda. Kami juga mempunyai penasihat undang-undang dan Lembaga Penasihat Syari’ah untuk membantu serta mengawal semua Wasiat.

33. Bukankah saya akan menjimatkan wang jika saya menyimpan Wasiat sendiri?

Benar, anda akan menjimatkan wang jika anda menyimpan sendiri Wasiat anda. Tetapi anda mungkin menghilangkannya, maka sia-sia anda membuat Wasiat jika Wasiat tersebut tidak dapat diperolehi selepas kematian anda.

34. Bayaran Penyimpan Wasiat Profesional adalah sangat mahal malah lebih mahal daripada bayaran peti deposit keselamatan saya.

Peti deposit keselamatan akan dibekukan selepas kematian. Ini akan menyukarkan keluarga anda untuk memperolehi dan mengetahui kandungan Wasiat kerana mereka mungkin tidak mengetahui kedudukan Peti Deposit Keselamatan tersebut (jika mereka mengetahui, mereka tetap memerlukan perintah mahkamah untuk membuka peti tersebut, ini memerlukan kos dan usaha yang banyak).

Akan tetapi, Khidmat Penyimpan Wasiat Profesional kami hanyalah sebanyak RM 0.20 sehari dan Wasiat anda akan menjadi dokumen yang sangat bernilai dan nilai bertambah dengan Bayaran Simpanan Tahunan hanya dengan RM80.00 sahaja.

Apabila Wasiat disimpan di as-Salihin, semua pewasiat akan menerima 3 kad simpanan Wasiat, sebuah Buku Senarai Harta Peribadi, Surat Peringatan Memperbaharui Tahunan dan akan mendapat Insurans Kemalangan Peribadi bernilai RM10,000 percuma dengan sekali bayaran pendaftaran sebanyak RM25.00.

Dengan sedikit bayaran, kami memastikan hasrat anda akan ditunaikan menurut Wasiat anda kerana Wasiat anda bebas daripada kerosakan atau kemusnahan yang tidak disengajakan. Yang lebih penting, ia boleh diubah pada masa yang dikehendaki. Terpulanglah kepada anda untuk membuat keputusan.

35. Adakah perkhidmatan Penyimpan Wasiat Profesional akan menyimpan Wasiat saya dengan baik?

Ya, mereka akan menyimpannya dengan baik. Setelah anda meletakkan Wasiat dalam simpanan as-Salihin, ia akan dikendalikan dengan baik, Nombor rujukan dan kad simpanan Wasiat akan diberi sebagai kawalan untuk mendapatkannya semula.

36. Kenapa saya tidak boleh membayar hanya satu yuran simpanan untuk Wasiat saya dan Wasiat isteri saya?

Setiap individu akan mempunyai nombor penyimpanan. Oleh itu adalah mustahil untuk wasiat dua orang disimpan menggunakan satu nombor rujukan. Bolehkah suami dan isteri mempunyai sepasang kasut yang sama atau mempunyai nombor kad pengenalan yang sama? Ini adalah untuk kami mengawal supaya hanya pewasiat atau wasi yang dilantik selepas kematian pewasiat sahaja yang boleh mendapatkan Wasiat tersebut.

37. Saya mempunyai peti deposit keselamatan/Saya akan menyimpannya sendiri/Saya akan menyimpan Wasiat di rumah

Masalah akan timbul bila seseorang meninggal dunia, semua asetnya termasuk peti deposit keselamatan akan dibekukan walaupun jika dibuat nama bersama.

Jika begitu Wasiat tersebut tidak akan menjadi rahsia dan sulit lagi kerana apabila ia disimpan di dalam peti deposit keselamatan, pemegang akaun bersama akan boleh mendapatkan Wasiat tersebut.

Menyimpan Wasiat di peti deposit keselamatan tidak menjamin Wasiat anda dilindungi daripada kerosakan dan ia boleh mengundang masalah kepada keluarga anda jika mereka mengetahui kandungannya maka ia tidak menjadi sulit lagi. Sebaliknya, kami akan menghantar surat peringatan kepada anda setiap tahun samada anda mahu menulis semula Wasiat anda atau mengemaskini Buku Senarai Harta Peribadi. Dinasihati bahawa sebarang perubahan undang-undang akan memberi kesan kepada Wasiat anda. Menyimpan Wasiat samalah seperti insurans melindungi aset dan benefisiari anda.

Setelah lama menyimpannya, anda mungkin terlupa di mana anda menyimpannya. Contohnya 5 tahun kemudian atau jika berlakunya sesuatu, keluarga anda mungkin akan sukar untuk mengetahui dan mengingati di mana anda menyimpan Wasiat anda.

38. Tidak perlukan penyimpanan seumur hidup?

Saya pasti bahawa anda akan hidup lebih 10 tahun lagi dan setelah dibahagikan RM800.00 dengan 30 tahun, hanya 7 sen sahaja satu hari. Ia tidaklah mahal sangat dan wang yang digunakan untuk membayarnya adalah berbaloi.

Anda boleh mencadangkan Simpanan Premier (PLC) kepada klien anda. Kelebihannya adalah mendapat potongan istimewa jika menulis semula Wasiat serta boleh membayar ansuran istimewa. Statistik kami menunjukkan bahawa 4-5% pelanggan kami menulis semula Wasiat setiap bulan dan PLC memberi mereka potongan seumur hidup dengan satu bayaran yang rendah iaitu hanya RM1,200.

39. Saya tidak mempunyai banyak aset untuk diwasiatkan.

Walaupun sekarang anda tidak mempunyai banyak aset untuk diwasiatkan, menulis Wasiat adalah memenuhi aspek yang penting di dalam Islam iaitu mengikut Sunnah seperti apa yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Umar.

Tambahan pula, beberapa tahun kemudian aset anda akan bertambah dan Wasiat yang kami buat adalah merangkumi aset akan datang tanpa perlu menulis semula Wasiat tersebut jika anda tidak mahu berbuat demikian. Disamping itu jika anda mempunyai anak-anak yang masih kecil, anda boleh melantik penjaga bagi harta mereka melalui Wasiat.

40. Kawan saya seorang peguam memberitahu saya bahawa dia boleh menyimpan Wasiat saya di dalam simpanan di pejabatnya. Mengapa saya harus menghabiskan wang untuk menyimpan Wasiat saya di dalam simpanan as-Salihin?

as-Salihin adalah sebuah Syarikat Pemegang Amanah yang berdaftar di bawah undang-undang dan ia adalah kekal. Semua Wasiat di dalam simpanannya diinsuranskan. Akan tetapi firma undang-undang akan terhenti atau ditutup apabila pemilik tunggal atau semua rakan kongsinya mati. Dalam situasi ini benefisiari anda tidak dijamin akan mendapat semula Wasiat anda tanpa kesusahan. Kenapa perlu mengambil risiko ini?

41. Kerahsiaan Wasiat/Saya tidak percaya kepada Perancang Harta Islam (IEP)

Semua IEP mestilah mematuhi kod etika syarikat dan mereka telah dilatih secara profesional untuk tidak memecahkan maklumat pelanggan kepada pihak ketiga yang mempunyai autoriti. Sama seperti hubungan peguam dan pelanggan dan juga doktor dan pesakit. Yang lebih penting, menulis Wasiat oleh IEP adalah mata pencarian IEP dan sudah pasti as-Salihin tidak mahu menjejaskan mata pencarian mereka.

Orang yang mengetahui tentang kandungan Wasiat anda adalah IEP dan penasihat undang-undang syarikat. Jika maklumat dipecahkan kepada pihak ketiga yang tidak mempunyai autoriti, syarikat akan menamatkan kontrak IEP serta syarikat akan mengiklankan nama dan gambar mereka yang menyatakan bahawa kami tidak lagi berkerjasama dengan IEP tersebut serta anda boleh mengambil tindakan undang-undang terhadapnya.

Lagipun, Wasiat hanya sah selepas anda meninggal dunia. Oleh itu anda boleh menulis semula Wasiat anda.


42. Sebagai ibu, bolehkah saya melantik penjaga bagi harta anak-anak saya?

Dalam Islam, hanya bapa yang mempunyai hak untuk melantik penjaga bagi harta anak-anaknya.

43. Apakah perbezaan di antara Amanah Hayat dan Amanah Wasiat?

Amanah Wasiat ialah amanah yang dibuat di dalam Wasiat dan berkuatkuasa selepas kematian Pewasiat. Amanah yang dibuat di dalam Wasiat adalah tertakhluk kepada peraturan satu-pertiga dan waris tidak boleh mendapat manfaat daripada amanah tersebut tanpa persetujuan daripada waris-waris lain.

Amanah Hayat ialah amanah yang dibuat oleh setlor untuk manfaat benefisiari dan berkuatkuasa serta merta apabila amanah dibuat. Harta di bawah Amanah Hayat tidak dikira sebagai sebahagian daripada harta setlor dan ia tidak akan dibekukan semasa setlor meninggal dunia. Oleh itu, perintah mahkamah untuk mentadbir harta tersebut tidak diperlukan kerana amanah tersebut berkuatkuasa serta merta berdasarkan syarat-syarat dan terma-terma di dalam Surat Ikatan Amanah.

44. Adakah cadangan pindaan kepada Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) Akta 1984 mempunyai apa-apa kesan ke atas Deklarasi Harta Sepencarian?

Cadangan pindaan tersebut antara lainnya memberi kuasa kepada Mahkamah Syariah, sebelum membenarkan suami berpoligami, “untuk memerintahkan supaya apa-apa aset yang telah diperolehi oleh pihak-pihak itu dalam masa perkahwinan itu atas usaha bersama mereka dibahagikan antara mereka atau supaya mana-mana aset itu dijual dan hasil jualan itu dibahagikan”. Pihak yang terlibat masih perlu membuktikan bahawa aset tersebut telah diperolehi bersama.

Sebaliknya, Deklarasi Harta Sepencarian kami, seperti yang telah diisytiharkan oleh pihak-pihak yang berkaitan, menyatakan bahawa harta tersebut adalah diperolehi bersama semasa perkahwinan. Bukti ini sudah mencukupi dan tidak perlu bukti lain untuk dibawa ke mahkamah. Oleh itu, cadangan pindaan tersebut tidak mempunyai apa-apa kesan ke atas Deklarasi Harta Sepencarian kami malah ianya patut digalakkan bagi mereka yang belum membuatnya untuk mengambil langkah awal.

45. Adakah wang KWSP dikira sebagai sebahagian daripada harta sepencarian?

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia kali ke-67 pada 22 Februari 2005 telah menetapkan bahawa wang caruman KWSP tidak boleh dianggap sebagai harta sepencarian dan menetapkan wang tersebut sebagai harta pusaka yang perlu diagihkan mengikut hukum faraid.

46. Bolehkan saya membuat pri-hibah simpanan KWSP kepada waris saya?

Tidak boleh. Ini kerana ia belum dikira hak pemilikan penuh anda. Wang EPF yang telah dikeluarkan baru boleh di pra-hibahkan.



Mahu membuat wasiat sila hubungi:

Saiful Fakhrin Yusof
013-2070170
Email: wasiat.legasi@gmail.com
Perancang Harta Pusaka Islam
as-Salihin Trustee Berhad

#WASIATLEGASI