Thursday, 23 September 2021

SALAM JUMAAT

 


Wasiat perlu digunakan untuk pembahagian harta pusaka kepada waris dan bukan waris serta terhad kepada satu pertiga daripada harta pusaka. Manakala faraid pula merupakan pembahagian harta pusaka khusus untuk waris sahaja.

Hibah sememangnya sangat penting lebih-lebih yang melibatkan mereka yang mempunyai pelbagai jenis harta pusaka seperti hartanah, rumah dan wang.

Pengurusan harta pusaka tanpa wasiat merupakan satu proses yang sangat panjang dan memakan masa. Proses yang panjang ini boleh menjangkau sehingga 3 hingga 5 tahun dan sudah tentu ia menyebabkan kos yang tinggi.

Masih ramai orang Islam yang menganggap hibah adalah perkara yang tidak begitu penting. Masih ramai lagi orang Islam yang tidak membuat persiapan menulis hibah kerana beranggapan urusan harta diletakkan di bawah faraid sahaja. Sedangkan membuat wasiat adalah perkara yang amat digalakkan dalam Islam.

Orang ramai perlu ada kesedaran akan kepentingan pengurusan harta pusaka. Pemilik harta pula perlu memastikan harta yang ditinggalkan kelak tidak akan menyusahkan dan membebankan waris untuk menguruskannya. Jadi wasiat legasi mampu membantu. Untuk maklum lebib lanjut boleh hubungi 013-2070170

#wasiatlegasi 
#wasiat
#legasianda

Tuesday, 31 August 2021

SALAM MERDEKA


 

Pelbagai bangsa pelbagai budaya, 

Perpaduan rakyat teras utama,  

Rakyat bersatu negara berjaya,  

Malaysia Prihatin aman sejahtera

Agar kita dipermudahkan urusan dan di beri kesihatan yang baik

#wasiatlegasi

Thursday, 15 July 2021

KELEBIHAN HARI ARAFAH

 


Hari Arafah adalah hari yang kesembilan Zulhijjah. Ia merupakan salah satu daripada hari-hari yang dimuliakan oleh Allah SWT yang mempunyai kelebihan-kelebihan yang tertentu, diantaranya ialah:

  1. Ia merupakan hari kemuncak bagi ibadah haji, sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, "Ibadah haji itu (sah dengan berwukuf) di Arafah". Ertinya, wukuf di Arafah merupakan satu rukun tertentu dalam ibadah haji, tanpa wukuf haji seseorang itu tidak sah.
  2. Ia merupakan hari keampunan segala dosa dan kemerdekaan dari api neraka serta Allah melahirkan kebanggaanNya kepada para malaikat dengan ramainya orang yang berwukuf di Arafah.

#wasiatlegasi


Thursday, 24 June 2021

Adakah Anak Tiri Layak Warisi Harta Pusaka?

 Saya ada terima satu soalan daripada salah seorang pembaca, Adakah Anak Tiri Layak Warisi Harta Pusaka?

Dia bertanya, bapanya ada 2 orang isteri, dengan isteri pertama (iaitu ibu kepada si penanya), bapa mempunyai 2 orang anak lelaki dan 2 orang anak perempuan.

Dengan isteri kedua, bapanya tidak mempunyai anak, yang ada hanyalah 3 orang anak tiri perempuan.

Syarat untuk melayakan seseorang itu berhak mewarisi harta pusaka adalah mesti mempunyai pertalian darah, pernikahan yang sah menurut Islam dan mesti beragama Islam.

Jadi disebabkan 3 orang anak tiri perempuan itu bukan hasil perkahwinan dengan isteri kedua tetapi merupakan anak kepada isteri sebelum perkahwinan mereka, jadi anak tiri tidak mempunyai pertalian darah, oleh itu anak tiri tidak layak menerima harta pusaka.
Sekiranya si bapa ingin memberikan harta kepada 3 orang anak tiri perempuan nya, maka dia perlu membuat wasiat dengan tertakluk kepada 1/3 harta.

Sekiranya bapa itu meninggalkan tanpa membuat wasiat, maka harta pusaka tadi hanya akan dibahagikan kepada isteri pertama (3/48 bahagian), isteri kedua (3/48 bahagian), anak lelaki pertama ( 14/48 bahagian), anak lelaki kedua (14/48 bahagian), anak perempuan pertama (7/48 bahagian) dan anak perempuan kedua (7/48 bahagian). 3 orang anak tiri perempuan tidak akan dapat apa-apa bahagian.

Disebabkan itu, sekirannya seseorang yang mempunyai anak tiri, anak angkat, anak tak sah taraf, anak susuan yang ingin memberikan harta kepada mereka, hendaklah membuat wasiat. Barulah mereka ini dapat mewarisi harta, dan terhad kepada 1/3 daripada harta.

Semoga perkongsian kali ini, dapat membantu anda memahami tentang perwarisan harta bagi anak tiri dan semoga terungkai masalah adakah anak tiri layak warisi harta pusaka.

#wasiatlegasi

Friday, 30 April 2021

PERATURAN ASAS WASIAT

  1. Wasiat bukan untuk waris. “tidak harus wasiat kepada waris… kecuali, diizinkan oleh waris yang lain” (Riwayat Daruqutni daripada Ibnu Abbas r.a)
  2. Pemberian kepada waris yang tidak mengikut faraidh adalah tertakluk kepada persetujuan waris-waris lain selepas pewasiat meninggal dunia.
  3. Hanya berkuatkuasa selepas kematian pewasiat. Jadi ia boleh di pinda seberapa kali yang boleh.
  4. Tidak mempunyai peraturan yang ketat.
  5. Peraturan 1/3 adalah khas untuk golongan bukan waris yang mana pemberian ini tidak boleh di tentang oleh waris2 lain melainkan ia melebihi dari 1/3.

FORMALITI:
  • Bertulis 
  • Ditandatangani dan disaksikan oleh sekurang-kurangnya 2 orang lelaki Islam ketika wasiat ditandatangani 
* Benefisiari tidak boleh menjadi saksi.



NUZUL AL-QURAN

 





Tuesday, 20 April 2021

APAKAH MASALAH & RISIKO TANPA WASIAT?




1. PEMBEKUAN HARTA

Kini sebanyak 1 juta kes harta pusaka dianggar bernilai RM38 billion tidak dapat diselesaikan kerana masalah pewarisan akibat tiada perancangan harta dilakukan semasa hidup.

2. TEMPOH PENGAGIHAN HARTA PUSAKA YANG LAMA

Terdapat kes harta pusaka yang mengambil masa sehingga 5 tahun, 10 tahun, 20 tahun atau 50 tahun untuk diselesaikan.

3. PENTADBIR YANG TIDAK AMANAH

Tanpa pelantikan Wasi yang berkredibiliti seperti as-Salihin Trustee Berhad, harta pusaka akan terdedah kepada risiko ditadbir oleh pentadbir yang tidak amanah.

#WASIATLEGASI

Monday, 19 April 2021

PENTADBIRAN HARTA PUSAKA TANPA WASIAT




Apabila seseorang meninggal dunia tanpa Wasiat, seorang pentadbir atau beberapa orang pentadbir mestilah dilantik untuk mentadbir harta si mati. Pentadbir akan menghimpunkan semua aset serta menyelesaikan liabiliti si mati termasuklah hutang dunia dan akhirat serta mengagihkan lebihan harta si mati menurut hukum Syariah.

Prosedur-prosedur yang ditetapkan untuk permohonan perlantikan Pentadbir dan tugas-tugas serta  tanggungjawabnya adalah tertakluk kepada undang-undang berkenaan, dimana yang paling utama adalah Akta Probet dan Pentadbiran 1959.

Sesungguhnya pentadbiran harta pusaka adalah tugas yang berat dan memilih Pentadbir yang salah akan menyebabkan benefisiari berada dalam keadaan menderita.


Mengapa anda perlu melantik syarikat amanah sebagai Pentadbir?


Masalah yang akan berlaku adalah mengenai pelantikan Pentadbir  di mana  di  bawah Seksyen 35 Akta Probet dan Pentadbiran 1959 menetapkan bahawa pentadbir perlu menyediakan  dua orang penjamin bagi membolehkan beliau mentadbir harta pusaka si mati, kecuali di dalam keadaan tertentu. Jaminan yang perlu diberi adalah bernilai sama dengan nilai kasar harta pusaka si mati. Walau bagaimanapun, pengecualian diberikan kepada Syarikat Amanah, di mana ia boleh mentadbir tanpa perlu mengemukakan penjamin.

#WASIATLEGASI

Thursday, 8 April 2021

ZAKAT

 


Zakat Adalah Satu Sistem Kebajikan Yang Ditetapkan Oleh Allah.

Zakat adalah salah satu daripada rukun Islam yang wajib dipatuhi oleh umat Islam. Amatlah besar peranan zakat dalam kehidupan sosial masyarakat kerana ia dapat membantu memperbaiki taraf kehidupan masyarakat yang memerlukan bantuan dari segi keperluan harian, ilmu dan sebagainya. 

Zakat dilihat dapat berfungsi sebagai agen pembasmi kemiskinan
kerana dengan hasil kutipan zakat yang diperoleh itu, golongan asnaf zakat dapat menerima manfaat yang sepatutnya mereka peroleh. 



Apa itu Zakat?

Zakat dari sudut bahasa ialah suci, bersih dan bertambah. Zakat dari sudut istilah ialah mengeluarkan sebahagian harta yang tertentu kepada asnaf yang berhak dengan syarat-syarat yang tertentu. 

Syarat Wajib Zakat

1. Islam -  Zakat difardhukan ke atas pemilik harta yang beragama Islam sahaja. Orang kafir tidak difardhukan menunai zakat, bahkan zakat mereka tidak sah jika ditunaikan kerana zakat mempunyai ciri-ciri ibadat. 

2. Merdeka - Individu yang bebas dan merdeka kerana dia mempunyai kuasa pemilikan atas harta.

3. Pemilikan Sempurna -  Milik sempurna bermaksud “Pemilikan seseorang terhadap harta secara sah sepanjang haul dan mempunyai kuasa secara bebas (إ ْختِيَا ُر) untuk mengurus (َح ُّق التَ َص ُّر ِف) dan memperolehi manfaat dari harta tersebut tanpa sekatan / kawalan undang-undang dan peraturan.

4. Cukup Haul - Haul ialah tempoh setahun (12 bulan) masihi@hijri pemilikan kekal harta zakat oleh seseorang. Namun, ada harta tertentu tidak diwajibkan syarat haul seperti zakat biji-bijian, buah-buahan, galian dan harta karun.

5. Cukup Nisab - Nisab ialah kadar minimum pemilikan sesuatu harta yang mewajibkan zakat ke atas harta itu. Nisab bersamaan dengan 85 gram emas nilai semasa. GABUNGAN NISAB ialah setiap harta yang mempunyai persamaan jenis hendaklah digabungkan hartanya untuk kecukupan nisab.


- GOLONGAN YANG MENERIMA ZAKAT
1) Fakir miskin
2) Amil zakat
3) Muallaf
4) Hamba
5) Orang yang berhutang
6) Fisabilillah
7) Orang yang bermusafir 

#WASIATLEGASI

Tuesday, 6 April 2021

Kepentingan Wasiat Mengikut Undang-Undang Di Malaysia

 

Perancangan harta pusaka bukan hanya mengenai pengagihan aset anda selepas kematian anda tapi yang lebih penting adalah bagaimana urusan pentadbiran harta pusaka anda dilaksanakan.

Melalui Wasiat anda berhak melantik Wasi/Pentadbir harta pusaka dalam kalangan individu atau syarikat amanah yang anda percayai dan yakin boleh melaksanakan tugas tersebut.

Pelantikan Wasi yang berwibawa akan mempercepatkan proses pencairan harta pusaka dan penyelesaian hutang piutang serta pengagihan harta pusaka anda kepada benefisiari yang berhak dengan telus, lancar dan sempurna.



#WASIATLEGASI

Monday, 5 April 2021

HUKUM WASIAT

 Apakah Hukum Wasiat?



  • Wajib - jika terdapat tanggungjawab Syarie yang perlu dilaksanakan seperti zakat dan haji dan dia bimbang harta berkenaan habis jika tidak diwasiatkan. Begitu juga, jika berkaitan dengan hutang dan wadiah sekiranya pemilik sebenar tidak dikenali oleh orang lain.
  • Sunat - jika berwasiat untuk kaum kerabat yang memerlukan sedangkan mereka tidak berhak mendapat harta pusaka. Begitu juga berwasiat kepada orang miskin dan untuk tujuan kebajikan pada jalan Allah.
  • Harus - jika berwasiat kepada sahabat handai atau orang kaya yang bukan daripada golongan yang berilmu dan beramal soleh.
  • Makruh - jika dibuat untuk orang-orang fasik dan sentiasa melakukan maksiat.
  • Haram - jika sesuatu wasiat dibuat untuk tujuan yang bercanggah dengan hukum syarak dan memudaratkan.

"Wasiat-wasiat tersebut hendaknya tidak mendatangkan mudarat (kepada waris-waris). (Setiap satu hukum itu) ialah ketetapan dari Allah, dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Penyabar." (Al-Nisa': 12)

Pembatalan wasiat (S.12 Enakmen Wasiat Selangor)
  • Pewasiat menjadi kurang siuman dan mati dalam keadaan tersebut.
  • Penerima mati sebelum pewasiat.
  • Perkara yang diwasiatkan telah musnah sebelum kematian pewasiat.
  • Pewasiat menarik balik wasiatnya.
  • Penerima dengan sengaja telah menyebabkan kematian pewasiat. (S.14)

#WASIATLEGASI

PROSEDUR PERMOHONAN FARAID

 Apa yang kebanyakkan setiap waris perlu tahu tentang bagaimana nak dapatkan sijil faraid?





Apa itu sijil faraid?

Sijil Faraid adalah dokumen akuan pewarisan orang beragama Islam, yang menyatakan kesahihan ahli-ahli waris dan bahagian-bahagian yang diperoleh. Permohonan Sijil Faraid hendaklah dibuat di mahkamah syariah kerana hanya mahkamah syariah yang berbidangkuasa untuk menentusahkan siapakah waris yang berhak kepada harta pusaka si mati dan berapakah nilaian pembahagian bagi waris tersebut.

Sijil Faraid diperlukan contohnya bagi kes-kes seperti berikut:
Pasangan si mati ingin menuntut harta sepencarian. Sijil Faraid diperlukan terlebih dahulu sebab dengan adanya Sijil Faraid barulah boleh ditentukan siapakah pemohon dan siapakah responden dalam permohonan harta sepencarian.

Waris ingin mengeluarkan harta alih si mati yang disimpan oleh institusi-institusi perbankan, Tabung Haji, amanah saham, dan sebagainya. Sebagai alternatif kepada Surat Kuasa Mentadbir, Sijil Faraid boleh digunakan oleh waris sebagai dokumen bagi mencairkan harta alih si mati yang dibekukan oleh institusi-institusi perbankan, Tabung Haji, amanah saham, dan sebagainya.

Waris ingin menjual harta tak alih si mati. Dalam hal ini, Sijil Faraid hendaklah diekshibitkan oleh pemohon (selalunya pentadbir) dalam permohonan perintah jualan di mahkamah tinggi.

Kesemua waris yang dinyatakan dalam Sijil Faraid hendaklah menandatangani afidavit persetujuan bagi menyatakan persetujuan mereka bagi pemohon menjual harta tak alih si mati. Sekiranya ada waris yang tidak dapat dihubungi, maka ARB boleh mewakili waris yang hilang tersebut dan wang hasil jualan harta tak alih si mati akan disimpan oleh ARB sebagai pemegang amanah sehinggalah waris tersebut menuntutnya.

Walau bagaimanapun, Sijil Faraid tidak diperlukan sekiranya permohonan bicara pusaka dibuat di unit pusaka kecil di pejabat-pejabat tanah kerana unit pusaka kecil sudahpun mempunyai bidangkuasa dalam menentusahkan waris dan membuat pengiraan faraid.

Prosedur Permohonan Sijil Faraid

Permohonan sijil faraid boleh dibuat sendiri atau anda boleh melantik peguam syarie untuk membuat permohonan bagi pihak anda. Bagi anda yang tidak biasa dengan prosedur mahkamah, hal ini akan menjadi sukar kerana anda perlu menyediakan dokumen-dokumen mengikut tatacara mahkamah syariah dan akan melalui proses perbicaraan.

Secara ringkasnya, prosedur permohonan sijil faraid adalah sebagaimana berikut:
Menyediakan notis permohonan untuk mendapatkan sijil faraid;

Menyediakan afidavit sokongan bagi menyokong permohonan sijil faraid tersebut;

Mengekshibitkan dokumen-dokumen sokongan seperti salinan sijil kematian si mati, salinan surat nikah pasangan si mati, salinan sijil kelahiran anak-anak si mati, salinan sijil kematian bagi waris-waris fardhu si mati yang telah meninggal dunia lebih awal dari si mati, dan ain-lain dokumen yang sesuai sebagai lampiran kepada afidavit sokongan;

Memfailkan notis permohonan beserta afidavit sokongan dan ekshibit-ekshibit tersebut di mahkamah syariah tempat pemohon bermastautin;

Mahkamah syariah akan menghantar notis mengenai tarikh perbicaraan kepada pemohon;

Pemohon hadir dengan membawa salinan asal dokumen yang diekshibitkan;

Mahkamah akan menyoalsiasat pemohon tentang waris-waris si mati bagi mengesahkan waris-waris yang layak mendapat harta pusaka simati;

Mahkamah akan menyoalsiasat saksi-saksi bagi mengesahkan siasatan terhadap pemohon;

Setelah mahkamah berpuas hati, hakim syarie akan mengeluarkan perintah pengesahan waris dan pembahagiannya mengikut faraid (sijil faraid);

Setelah siap sijil faraid dimeterai, pemohon boleh mengambilnya dipejabat pendaftaran Mahkamah Syariah.

#WASIATLEGASI

Monday, 29 March 2021

APAKAH ITU WASIAT?

 


Wasiat ialah suatu dokumen sah yang melantik Pemegang Amanah (Wasi) bagi menguruskan harta Pewasiat mengikut faraid atau hasrat Pewasiat tersebut.


DALIL WASIAT

Pada permulaan Islam, berwasiat adalah suatu kewajipan untuk ibu bapa dan kaum kerabat yang terdekat berdasarkan Firman Allah s.w.t. yang bermaksud: “Diwajibkan ke atas kamu, apabila seseorang di antara kamu kedatangan (tanda-tanda) maut, jika ia meninggalkan harta yang banyak, berwasiatlah untuk ibu-bapa dan kaum kerabatnya secara ma’ruf (ini adalah) kewajipan atas orang-orang yang bertaqwa”.  (Surah Al-Baqarah:180)

Kemudian, kewajipan berwasiat telah dimansuhkan hukumnya apabila turunnya ayat mawarith dalam surah Al-Nisa,  iaitu yang menerangkan hak-hak dan pembahagian pusaka melalui hukum faraid contohnya melalui ayat yang bermaksud: “Bagi orang laki-laki ada hak bahagian dari harta peninggalan ibu-bapa dan kerabatnya, dan bagi orang wanita ada hak bahagian (pula) dari harta peninggalan ibu-bapa dan kerabatnya, baik sedikit atau banyak menurut bahagian yang telah ditetapkan”.  (Surah Al-Nisa’: 7)

Dari segi kedudukan wasiat, Allah SWT berfirman yang bermaksud: “(Pembahagian itu) ialah sesudah diselesaikan wasiat yang diwasiatkan oleh si mati dan sesudah dibayar hutangnya.” (Surah Al-Nisa’: 11)

Manakala hadis daripada Abdullah bin Umar r.a., Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Seseorang muslim yang mempunyai sesuatu yang hendak diwasiatkan, tidak sepatutnya tidur selama dua malam, melainkan dalam keadaan wasiat telah siap ditulis di sisinya.” (Riwayat Al-Bukhari)

Melalui hadis di atas, jelas menyatakan bahawa Rasulullah s.a.w. amat menggalakkan wasiat dibuat bila mana telah terlintas di hati untuk membuat sesuatu wasiat.


#WASIATLEGASI

Sunday, 28 March 2021

KONSEP TAKAFUL

 



Takaful dari segi pengertian bahasa ialah saling jamin menjamin, menjaga atau memelihara –iaitu peserta yang mengambil perlindungan takaful berniat ikhlas akan saling jamin menjamin dikalangan mereka untuk saling bantu membantu ketika ditimpa musibah.

Takaful secara amnya mempunyai persamaan dgn insurans konvensional dimana kedua-duanya merupakan instrument untuk membantu golongan yg tidak bernasib baik kerana ditimpa musibah.akan tetapi takaful adalah merupakan insurans yang berteraskan islam dan diuruskan mengikut hukum-hukum dan syariah islam.


KONSEP TAKAFUL

Takaful adalah satu konsep yang berasaskan prinsip-prinsip berkongsi tanggungjawab, bekerjasama dan saling membantu menjaga kepentingan bersama. Setiap peserta menyumbang berasaskan tabarru’ (derma) kepada dana yang akan digunakan untuk membantu satu sama lain pada masa yang diperlukan.

Tahap kehidupan yang berubah-ubah.

Keperluan hidup kita sentiasa berubah mengikut peredaran masa. Justeru, apabila keperluan hidup berubah, keutamaan kita turut berubah. Masalahnya, kita juga perlu mengubah perancangan kewangan kita untuk diselaraskan dengan keutamaan hidup kita yang berubah. Di sini, kami boleh memenuhi keperluan anda dengan Takafulink, iaitu satu pelan takaful keluarga berkaitan dengan pelaburan yang berlandaskan prinsip-prinsip syariah. Ia mempunyai semua ciri-ciri yang anda perlukan.

- Berdasarkan Syariah
Mempunyai Majlis Syariah yang memantau pelaburan dan operasi syarikat.

- Komprehensif
Pelan yang lengkap, terdiri daripada perlindungan, pelaburan dan perubatan.

- Fleksible
Anda boleh mengubah plan atau caruman bulanan mengikut keperluan anda dari semasa ke semasa walau pun setelah polisi dikeluarkan. Ini membolehkan anda merancang dengan lebih baik.

- Pulangan pelaburan yang tinggi
Menyediakan 4 dana untuk memberi pilihan kepada anda

Dana Ekuiti Dinasti
Dana Ekuiti
Dana Urus
Dana Bon



#WASIATLEGASI


 


AHLI WARIS FARAID

 



Faraid ialah bahagian yang telah ditetapkan oleh syarak kepada waris si mati. Waris pula terbahagi kepada beberapa  kategori iaitu waris utama, waris gentian, waris sisian pertama dan waris sisian kedua. Waris utama adalah insan yang paling rapat dengan si mati iaitu ayah,ibu, pasangan (suami atau isteri), anak lelaki dan anak perempuan.

Setiap daripada waris utama ini mempunyai hak dan kadar masing-masing dalam pembahagian harta faraid. Contohnya, bapa akan memperoleh hak sebanyak 1/6 daripada harta faraid tersebut. Ibu berhak sebanyak 1/3 (sekiranya si mati tidak mempunyai anak) dan 1/6 (sekiranya si mati mempunyai anak). Manakala pasangannya iaitu suami berhak sebanyak ½ (sekiranya si mati tidak mempunyai anak) dan ¼ (sekiranya si mati mempunyai anak.

Begitu juga dengan isteri, hak isteri ialah sebanyak ¼ (sekiranya si mati tidak mempunyai anak) dan 1/8 (sekiranya pasangan mempunyai anak). Manakala hak anak perempuan pula ialah ½ (sekiranya si mati hanya mempunyai seorang anak perempuan sahaja), 2/3 hak (sekiranya si mati ada lebih daripada seorang anak perempuan dan dibahagikan sama rata di antara mereka).

Namun begitu, hak anak perempuan juga tertakluk kepada kategori asobah Bil ghari iaitu sekiranya anak perempuan tersebut mempunyai adik beradik lelaki maka pembahagian perlu dilakukan dengan kadar sebanyak 2 bahagian bagi lelaki dan 1 bahagian bagi perempuan.

Sebaliknya anak lelaki akan mengambil seluruh harta jika tiada waris fardu (waris yang telah ditentukan haknya).

Kesimpulan

Tertib dalam pengurusan harta pusaka Islam bukanlah perkara yang boleh dipandang remeh. Sesungguhnya, memahami kaedah pembahagian harta dalam Islam amatlah penting dan dititik beratkan malahan perlaksanaannya adalah berdasarkan ketetapan yang telah dinyatakan dalam al-Quran dan hadis.

#WASIATLEGASI

FARAID



Perkataan Faraid dari segi bahasa mempunyai maksud yang banyak. Antaranya ialah menentukan, memastikan, menghalalkan dan mewajibkan.

Menurut istilah syarak, Faraid adalah pembahagian harta seorang Islam yang telah meninggal dunia sama ada beliau meninggalkan wasiat atau tidak sebelum kematiannya.

Maka harta peninggalannya akan dibahagikan kepada ahli warisnya (seperti  anak, isteri, suami, ibu, dll), menurut hukum Islam. Harta yang dibahagikan kepada ahli waris adalah baki harta yang ditinggalkan setelah ditolak segala pembiayaan pengurusan jenazah, hutang pewaris (zakat, nazar, dll) dan wasiat yang dibenarkan oleh syarak (tidak melebihi 1/3 dari jumlah harta).

Bentuk harta yang boleh dibahagikan secara Faraid ialah:
  1. Tanah
  2. Bangunan (rumah).
  3. Barang kemas (emas, perak dll).
  4. Insurans dan Wang tunai (sama ada dilaburkan atau tidak).
  5. Binatang ternakan seperti kambing, lembu, unta, kerbau dll.


Kenapa anda perlu memahami faraid?

1.    Asas - Ia adalah pengetahuan asas kepada Perancangan Harta Pusaka Islam.

 

2.    Beza - Ia membezakan antara perancangan harta bagi orang Islam dan bukan Islam.

 

3.    Penting - Ia adalah sangat penting bagi kes kematian berwasiat dan tidak berwasiat.

 

4.    Tahu -  Ia membantu umat Islam akan tahu bagaimana hartanya akan dibahagikan selepas kematiannya.

 

Sebelum anda membuat perancangan harta pusaka, perlulah kembali kepada asas pembahagian harta pusaka ini, iaitu FARAID. Setelah anda memahami Faraid, barulah anda boleh merancang bagaimana harta pusaka anda hendak dibahagi-bahagikan kepada waris atau bukan waris.

Di dalam Al-Qur'an, cara pembahagian harta pusaka ataupun faraid adalah yang paling jelas dan terperinci. Ianya cukup jelas untuk difahami dan dibuat pengiraannya. Seseorang yang mahir dalam matematik kebiasaannya akan dapat memahaminya dan seterusnya menguasai kaedahnya dalam masa yang amat singkat.  Pembahagian harta pusaka secara faraid merupakan  satu cara pembahagian yang paling adil dan penuh hikmah.


#WASIATLEGASI

Salam Nisfu Sya'ban 1442


 

PERANCANGAN HARTA PUSAKA

  





Islam amat mengambil berat tentang persoalan harta dalam kehidupan manusia. Harta dianggap sebagai satu amanah oleh Allah yang mesti diuruskan dengan baik dan sesempurna berdasarkan peraturan dan hukum Allah S.W.T. Pengurusan harta sebagai bekalan kehidupan di akhirat mesti diurus dan dirancang semasa seseorang itu masih hidup lagi. Harta dunia ini adalah milik Allah S.W.T. dan kita hanyalah pemegang amanah yang dipertanggungjawabkan untuk mengurus dan mentadbirnya sebaik mungkin mengikut syariat Islam.

Perancangan harta pusaka ialah sebarang usaha dan rancangan persediaan yang perlu dan wajar dilakukan bagi membahagikan dan mengagihkan harta-harta yang dimiliki oleh pemilik harta kepada para waris ataupun bakal penerima harta yang lain apabila pemilik harta meninggal dunia. Perancangan pembahagian ini dibuat semasa pemilik harta masih hidup.

Harta pusaka yang tidak dituntut merupakan salah satu masalah ekonomi orang Islam yang semakin meruncing. Kesannya, harta tersebut akan terbeku dan memerlukan masa yang panjang untuk mencairkannya. Perkara ini sepatutnya tidak berlaku kerana Islam telah menetapkan pembahagian harta mengikut hukum faraid.

Harta pusaka tidak dituntut merupakan satu perkara yang merugikan umat Islam kerana mereka tidak dapat menikmati harta yang ditinggalkan. Masalah harta pusaka ini menyebabkan harta tersebut terbeku dan tidak dapat dibangunkan bagi tujuan pembangunan ekonomi waris-waris. Hal ini disebabkan apabila sesuatu harta tersebut diisytiharkan sebagai beku, maka ia memerlukan pelbagai prosedur dan mengambil masa yang panjang untuk menyelesaikannya.

Mengurus dan merancang harta adalah sangat digalakkan di dalam Islam. Di dalam sesetengah keadaan, pengurusan harta pusaka bukan lagi merupakan satu pilihan tetapi adalah satu keperluan terutama apabila wujud keadaan di mana pelaksanaan sesuatu perkara itu wajib kita tunaikan. Dalam konteks ini, Islam membenarkan kita untuk melupuskan harta atau memberi manfaat kepada orang-orang tertentu melalui instrumen wasiat dan hibah. Walaubagaimanpun pelaksanaan kedua-dua instrumen ini adalah tertakluk kepada hukum syarak dan tidak boleh sewenang-wenangnya digunapakai apatah lagi ianya mungkin akan mengundang kekeliruan dan perbalahan di kalangan ahli keluarga yang terdekat.

Realiti zaman kini, ramai antara kita yang memandang remeh isu pembahagian harta pusaka dan penyediaan surat wasiat. Apabila berlaku kematian, mereka membahagikan harta pusaka mengikut logik akal masing-masing. Natijahnya, ada pihak yang tidak berpuas hati, dan akhirnya menimbulkan perbalahan di sana sini dan lain-lain.

#WASIATLEGASI

Saturday, 27 March 2021

Melepaskan Hak Faraid Dalam Pentadbiran Harta Pusaka

 


Melepaskan hak bermaksud waris membebaskan haknya ke atas harta pusaka si mati dengan memberi atau menghadiahkan bahagiannya kepada waris lain.

Melepaskan hak juga bermaksud memberikan bahagian kepada waris lain secara percuma. Ia boleh dibuat secara lisan ketika perbicaraan sedang berjalan atau menandatangani Borang Persetujuan.

Kadangkala waris melepaskan haknya setelah dibayar. Tetapi itu tidak bermakna pelepasan itu tidak sah. Pihak Pentadbir Tanah tidak akan mengambil kira perkara itu.

Sama ada waris yang melepaskan haknya itu sudah dibayar atau tidak, itu tidak penting. Apa yang penting ialah waris mengaku dan bersumpah bahawa dia melepaskan haknya. Itu sahaja yang akan diambil kira.

Walau apapun tujuan waris, sama ada atas dasar kasih syang, kasihan, tidak peduli, tidak mahu ambil pusing tentang pusaka itu, atau sudah menerima bayaran terlebih dahulu, ini tidak akan memberi sebarang kesan kepada kesahan pelepasan yang dibuat.

Mungkin waris melepaskan hak khusus kepada seorang waris lain atau melepaskan hak kepada semua waris itu kerana semua waris berkongsi hak yang dilepaskan itu. Atau melepaskan hak sedikit kepada waris ini dan selebihnya kepada waris yang lain.

Terdapat juga waris yang sanggup membayar nilai bahagian waris lain. Sebagai gantinya, waris yang menerima bayaran itu akan menandatangani Borang Persetujuan untuk melepaskan haknya kepada waris yang membayar tadi.

Cara ini biasa digunakan apabila melibatkan harta tak alih. Ia boleh dilakukan dengan syarat waris yang sanggup membayar itu mampu. Dengan lain perkataan, kaedah ini perlu kepada modal tunai yang sepadan dengan nilai harta pusaka yang ditinggalkan.

Secara tidak langsung, ia umpama waris membelu harta tak alih itu daripada waris yang lain. Cuma jangan ada pula waris yang sudah mendapat duit, kemudian enggan menandatangani Borang Persetujuan. Perlu berhati-hati tentang perkara itu.

#WASIATLEGASI

HIBAH BERCAGAR: Adakah sah atau tidak untuk dilaksanakan?

 




Hibah Bercagar: Adakah sah atau tidak untuk dilaksanakan?

SOALAN: 

Bolehkah saya membuat hibah sebagai satu dokumen perancangan untuk harta yang masih bercagar (hutang)? adakah sah atau tidak untuk dilaksanakan nanti? bagaimana pula jika harta tersebut mempunyai perlindungan insurans/takaful (mrta/mrtt), adakah masih tidak sah?


JAWAPAN: 

Sebagai permulaan adalah penting untuk kita fahami berkenaan bidang kuasa undang-undang hibah itu sendiri di Malaysia, seperti yang kita sedia maklum ada dua undang-undang yg diguna pakai di Malaysia, iaitu undang-undang sivil dan shariah. Sebagai pengetahuan, Hibah bidang kuasanya jatuh dibawah undang-undang Shariah di Mahkamah Shariah, undang-undang shariah berteraskan daripada Al-Quran, Hadith, Qias dan Ijma’ Ulama dalam panduan hakim untuk membuat keputusan pengesahan hibah tersebut.


Untuk memastikan bahawa hibah itu sah ada kriteria-kriteria atau rukun dan syarat yang perlu dipenuhi:

1. Pemberi Hibah

2. Penerima Hibah

3. Barang atau harta yang dihibahkan

4. Sighah iaitu Ijab dan Qabul


Maksud Harta Bercagar:

Cagaran bermaksud harta yang dibeli, digadai atau diserah hak(biasanya melalui proses yang sah seperti pendaftaran gadaian keatas hakmilik tersebut) pada institusi kewangan atau kerajaan atau individu sebagai jaminan sebagai menjamin kepentingan peminjam atau institusi kewangan atau kerajaan atau individu yang memberi pinjaman berkenaan untuk membolehkan bayaran pinjaman dikeluarkan kepada penjual atau pemaju.


Hartanah bercagar ini hanya akan dilepaskan dari gadaian dan/atau surat ikatan penyerahan hak akan hanya dibatalkan selepas peminjam (selalunya pemilik hartanah) menyelesaikan segala pinjaman yang menjadikan hartanah tersebut sebagai jaminan sekuriti atas pinjaman yang diluluskan oleh sesebuah institusi kewangan, atau orang perseorangan. Justeru, pemilik hartanah bercagar tidak boleh melakukan transaksi pindahmilik ke atas hartanah bercagar selagi mana pinjamannya tidak diselesaikan. Kekangan atau halangan ini adalah bagi menjamin keselamatan pinjaman yang dilepaskan oleh pihak pemegang gadaian, atau penerima serah hak. 


Bagi persoalan status hibah harta bercagar, mari kita fokus berkenaan rukun yang pertama (1) dan ketiga (3) iaitu pemberi hibah  dan barang atau harta yang dihibahkan.


Pemberi hibah:📌

Hendaklah seorang yang berkeahlian seperti sempurna akal, baligh dan rushd (matang dan berkemampuan menguruskan harta). Pemberi hibah mestilah tuan punya barang yang dihibahkan. Oleh sebab pemilik harta mempunyai kuasa penuh ke atas hartanya, hibah boleh dibuat tanpa had kadar serta kepada sesiapa yang disukainya termasuk kepada orang bukan Islam, asalkan maksudnya tidak melanggar hukum syarak.


Barang atau harta yang hendak dihibahkan 📌  Aset tersebut perlu memenuhi syarat-syarat berikut:

a. Ia hendaklah barang atau harta yang halal. 


b. Ia hendaklah sejenis barang atau harta yang mempunyai nilai di sisi syarak. 


c. Barang atau harta itu milik pemberi hibah.


d. Ia boleh diserahmilikkan. 


e. Ia benar-benar wujud semasa dihibahkan. Contohnya, tidak sah hibah barang yang belum ada seperti menghibahkan anak lembu yang masih dalam kandungan atau hibah hasil padi tahun hadapan sedangkan masih belum berbuah dan sebagainya.


f. Harta itu tidak bersambung dengan harta pemberi hibah yang tidak boleh dipisahkan seperti pokok-pokok, tanaman dan bangunan yang tidak termasuk tanah. 


PANDANGAN MAZHAB SYAFIE DAN HAMBALI

persoalan utama yang timbul dalam kes hibah hartanah bercagar adalah tentang persoalan pemilikan harta pemberi hibah, iaitu dikategorikan sebagai pemilikan tidak sempurna (milk al-naqis), kerana harta tersebut bukan milik sepenuh pemberi hibah kerana masih ada lagi kepentingan atau hak pemegang gadaian. 


Atas asas ini, maka mazhab Syafie, dan Hambali menganggap hibah hartanah bercagar adalah tidak sah lantaran elemen qabd, dan tasarruf juga gagal dipenuhi dalam syarat hibah bersama ijab dan qabul. Tasarruf ialah sesuatu perbuatan yang mendatangkan kesan syarak terhadap sesuatu seperti jual beli, hibah, wakaf, dan sebagainya. 


Pandangan ini juga menyatakan bahawa hartanah bercagar merupakan jaminan yang berada di bawah kuasa pemegang gadaian. Oleh itu, hibah yang dilakukan ke atas hartanah bercagar dianggap sebagai sesuatu yang tidak memenuhi syarat pembentukan akad kerana dilakukan oleh orang yang tiada kelayakan untuk berbuat sedemikian.


PANDANGAN MAZHAB MALIKI DAN HANAFI

Walau bagaimanapun, terdapat ulama’ yang membenarkan hibah bagi hartanah yang milik orang lain, asalkan mendapat kebenaran pemilik hartanah tersebut. Keizinan pemilik hartanah tersebut pula tidak semestinya semasa akad hibah, tetapi boleh berlaku selepas ijab dan kabul. Kelayakan (wilayah) merupakan syarat al-nafadz(semasa akad berlangsung) yang boleh ditangguhkan hingga mendapat keizinan pemegang cagaran dan ia bukan sebagai syarat pembentukan akad.


Berdasarkan pandangan tersebut, ada yang berhujah bahawa hibah hartanah bercagar adalah dibolehkan. Hartanah bercagar masih bukan milik sempurna tuannya. Ada pihak ketiga yang berkepentingan iaitu penerima cagaran, selalunya institusi kewangan. Tetapi hibah masih sah, jika pihak institusi kewangan memberi kebenaran walaupun lama selepas akad hibah dibuat. Institusi kewangan akan bagi kebenaran selepas proses tebus hutang selesai. Tebus hutang boleh berlaku dengan sebab adanya takaful atau insuran yang melindungi hutang peminjam (selalunya pemilik hartanah) yang meninggal dunia.


KEPUTUSAN MAHKAMAH SYARIAH

1) Dalam kes Awang bin Abdul Rahman lwn. Shamsuddin bin Awang & lainlain, Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Terengganu memutuskan bahawa hibah hartanah bercagar adalah tidak sah kerana ia bukan pemilikan sempurna harta tetapi sebagai satu tanggungan. 


2) Dalam kes Wan Noriah binti Wan Ngah, Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Terengganu juga menolak permohonan pengesahan hibah dalam kes hartanah yang masih di bawah pembiayaan Bahagian Pinjaman Perumahan, Perbendaharaan Malaysia.


3)  Berlainan halnya dalam kes Raihanah Binti Mohd Ali lwn. Kamaruddin bin Mohd Nor & Lain-lain [2008] 26(2) JH 253, Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Terengganu telah menolak permohonan plaintif untuk mengesahkan hibah yang telah dibuat oleh adiknya (si mati) kepadanya atas alasan tiada bukti yang menunjukkan bahawa si mati telah meminta kebenaran daripada pembiaya skim BBA (bai’ bi thaman ajil) untuk membolehkannya menghibahkan hartanah tersebut kepada plaintif. Walau bagaimanapun, hakim syarie dalam alasan penghakimannya menyebut bahawa hibah ini boleh jadi sah jika kebenaran dari pemegang cagaran diperolehi. Mahkamah tidak menerima tentang fakta kewujudan takaful yang melindungi hutang pemberi hibah sebagai keizinan tersirat. Keizinan pemegang cagaran hendaklah dibuktikan secara jelas, dan pemohon dalam kes ini telah gagal membuktikan elemen ini.


4)  Yang lebih menarik adalah dalam kes Yati Suraya lwn. Supiah Binti Abu, mahkamah syariah Negeri Sembilan membenarkan hibah hartanah bercagar walaupun tanpa izin pemegang gadaian asalkan hartanah bercagar tersebut dilindungi sepenuhnya oleh takaful/insuran. Ini adalah kes yang terbaru.


Berdasarkan kes-kes ini, bolehlah kita bahagikan keputusan mahkamah syariah kepada tiga (3) kecenderungan: 

1. Hakim syarie yang menolak hibah hartanah bercagar secara mutlak. Mereka melihat bahawa pemberi hibah tiada keahlian (wilayah) ke atas harta hibah dan tidak layak untuk melakukan tasarruf atas harta hibah. Pemilikan harta hibah adalah pemilikan tidak sempurna. Mereka cenderung kepada pendapat dalam mazhab Syafie, dan Hambali. Kewujudan insurans/takaful tidak dianggap sebagai satu keizinan daripada pemegang gadaian.


2. Hakim syarie yang membenarkan hibah hartanah bercagar sekiranya mendapat izin daripada pemegang gadaian, atau pemegang kuasa wakil. Keizinan ini hendaklah diperolehi secara zahir/tersurat. Mereka cenderung kepada pendapat dalam mazhab Hanafi. 


3. Hakim syarie yang membenarkan hibah hartanah bercagar asalkan terdapat takaful/insuran yang melindungi keseluruhan pinjaman terhadap hartanah terbabit walaupun tiada keizinan secara zahir daripada pemegang gadaian, atau pemegang kuasa wakil. Takaful/insuran yang melindungi harta hibah itu sendiri adalah keizinan secara tersirat yang akhirnya transaksi tabarru’ itu boleh menjadi kenyataan. Mereka cenderung kepada pendapat dalam mazhab Maliki.


RUMUSAN

1.Hibah harta bercagar mempunyai kemungkinan dan risikonya yg tersendiri dalam pengesahannya di Mahkamah Syariah,


2.Tidak salah membuat hibah untuk harta bercagar, tetapi kita wajib memahami risiko dan menerima kemungkinan hibah itu ditentang dan ditolak oleh makhkamah.


3. Penyataan "hibah harta nercagar adalah sah sepenuhnya atau tidak boleh dicabar" adalah satu penyataan yg tidak bertanggungjawab.


4. Status mrta/mrtt sebagai perlindungan hutang ke atas harta bercagar tidak boleh menjamin 100% sah sesuatu hibah.


5. Keputusan sah sesuatu hibah masih lagi tertakluk kepada keputusan hakim sama ada cenderung ke atas mazhab Syafie dan Hambali atau mazhab Maliki dan Hanafi


6. Keputusan hakim pada kes terdahulu tidak mengikat hakim yang lain dalam membuat keputusan yang baru dan mereka bebas untuk berijtihad.


7. Perundangan di Malaysia khususnya perundangan shariah perlu lebih proaktif untuk menyelesai masalah  Hibah ini untuk mengelakkan kekeliruan dikalangan masyarat dan kesukaran kepada pengamalan perundangan dan perancangan harta pusaka Islam dalam memberi khidmat nasihat dan penyediaan dokumentasi yg lebih tepat dan jitu.


8. As-Salihin Trustee Berhad tidak menyediakan dokumentasi perancangan harta pusaka melalui Pri-Hibah untuk harta bercagar, kerana isu dan risiko yang akan berlaku semasa pengesahan hibah nanti dibuat. Akhirnya jika hibah itu ditolak akan berlaku salah faham, tuduh menuduh dan merosak reputasi dan keharmonian syarikat, IEP dan waris-waris hatta akan menambahkan masalah pusaka dan pergaduhan.


Walaubagaimana pun pihak As-Salihin Trustee Berhad membenarkan Pri-Hibah dilakukan untuk harta bercagar sekiranya pemberi hibah berjaya mendapatkan persetujuan dan kerjasama dari pihak pemegang gadaian (bank) semasa dokumentasi pri-hibah dibuat.


#WASIATLEGASI